Tiada Kompromi Isu Penganiayaan Haiwan, Nga Arah PBT Patuhi SOP

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penganiayaan haiwan, sambil mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan haiwan terbiar mahupun haiwan peliharaan.

Menurut beliau, setiap haiwan berhak menerima layanan yang berperikemanusiaan tanpa sebarang unsur kekejaman atau penderaan, sama ada haiwan itu mempunyai pemilik atau sebaliknya.

“Tiada tempat untuk kekejaman dan penderaan terhadap haiwan, sama ada haiwan terbiar atau berpemilik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan insiden kematian seekor anjing peliharaan dikenali sebagai Rocky ketika operasi penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

Dalam penjelasannya, MBDK memaklumkan keadaan menjadi tegang apabila pemilik Rocky didakwa bertindak agresif dengan cuba memotong tali gelung yang digunakan untuk menangkap anjing berkenaan, selain mengugut untuk mencederakan dirinya sendiri sekiranya haiwan itu tidak dilepaskan.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, situasi yang tidak terkawal menyebabkan pegawai bertugas menghadapi kesukaran melonggarkan tali berkenaan sebelum Rocky disahkan mati dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam, Rabu lalu.

Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan khianat dengan membunuh haiwan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang bertanggungjawab boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Nga berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandang serius insiden berkenaan dan memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi memastikan semua aspek kes diteliti secara adil dan telus.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran SOP atau sebarang salah guna kuasa dalam pengendalian operasi terbabit.

BBerkaitan

Latest articles