“Tiada Kena-Mengena Dengan Kerajaan”, Fahmi Jawab Sanusi

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membidas tuduhan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya pertuduhan yang dikenakan terhadapnya disebabkan kerajaan berada dalam keadaan ketakutan.

Tegas Fahmi, jelas terbukti bahawa dua pertuduhan yang dihadapi Muhammad Sanusi tiada kaitan dengan kerajaan.

“Kamu buat kenyataan yang ada kecenderungan untuk bangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

“Ini tiada kaitan dengan kerajaan,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook, hari ini.

Fahmi, dalam masa yang sama, turut memuatnaik tajuk keratan berita yang menunjukkan Sanusi mendakwa pertuduhan dialaminya petunjuk kerajaan dalam ketakutan.

Semalam, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan membuat kenyataan menghasut dan berkecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Dua pertuduhan menghasut itu adalah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik yang berlangsung pada 11 Julai lalu.

Beliau diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan diperintahkan tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes itu sehingga perbicaraan selesai.

Selesai pertuduhan, Muhammad Sanusi mendakwa apa yang dilaluinya semalam bermotifkan politik dan bertujuan menjejaskan dirinya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).

BBerkaitan

Latest articles