Terharu Kehadiran Perwakilan, Ahmad Zahid Mahu Luah Rasa Sepanjang Nakhodai UMNO

KUALA LUMPUR Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh perwakilan membina kembali parti selepas mengalami dua siri kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu.

Malah Ahmad Zahid memberitahu beliau mahu menggunakan pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini untuk meluahkan rasa sepanjang memimpin UMNO.

Begitu juga dengan cabaran yang dihadapi sepanjang memimpin parti itu.

“Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi sepanjang menakhodai bahtera UMNO ini.

“Biarlah hari ini, di dalam dewan keramat ini, kita bersama-sama membina semula gerakan parti kita.

“Perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, kita bincangkan secara berjemaah,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan di media sosial.

Ahmad Zahid meluahkan rasa terharunya melihat ramai perwakilan yang hadir di Dewan Merdeka untuk mendengar Taklimat Presiden UMNO hari ini.

Beliau percaya dengan semangat musyawarah, UMNO akan bangkit semula daripada kekalahan yang ditempuhi parti itu.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO boleh kembali cemerlang dengan perasan ikhlas yang ditunjukan oleh ahli parti itu.

“Dengan semangat musyawarah, saya yakin kita mampu bangkit dari rebah. Dengan keikhlasan, kita mampu mencipta kejayaan.

“Dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan kita semua beroleh rahmah,” katanya dalam kenyataan.

PAU 2022 bermula hari ini dengan Taklimat Presiden UMNO pada pukul 3 petang sebelum majlis perasmian persidangan sayap-sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri sebelah malam.

Ucapan persamian akan dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

BBerkaitan

Latest articles