LONDON: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak wujud sebarang ketegangan sehingga menghangatkan suhu dalaman UMNO berikutan keputusan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar parti.
Presiden UMNO itu berkata kebanyakan akar umbi berpandangan tindakan Tengku Zafrul meletak jawatan dalam parti adalah wajar.
“Saya tidak nampak ‘suhu kepanasan’ berlaku dalam kalangan UMNO, eloklah keluar kalau tidak ada kesetiaan di dalam parti… jangan ganggu beliau kerana beliau sedang mengerjakan haji, moga-moga ketenangan menyelubungi minda beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan pramesyuarat bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke United Kingdom yang bermula semalam.
Jumaat lepas, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR.
Menjawab soalan mengenai rombakan Kabinet jika tempat Tengku Zafrul sebagai Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri perlu diganti, Ahmad Zahid berkata perbincangan perlu diadakan secara dalaman antara Kerajaan Perpaduan.
“Hak mutlak pelantikan menteri ini adalah atas (budi bicara) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
” …elok kita adakan perbincangan secara dalaman supaya tidak timbul interpretasi yang pelbagai dalam perkara ini,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata UMNO mahu supaya kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan kepada parti berkenaan susulan tindakan Tengku Zafrul itu.- BERNAMA