Guru Sekolah Agama Mengaku Salah Amang Seksual Dua Murid Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang guru sebuah sekolah rendah agama mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual secara fizikal terhadap dua murid lelaki, dengan kejadian didakwa berlaku antara April 2024 hingga November lalu.

Tertuduh, Kumpul, 40, yang merupakan warga Indonesia, didakwa melakukan perbuatan tersebut di kawasan Wangsa Maju.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a), tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan minimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof, memohon agar jaminan tidak ditawarkan memandangkan semakan Jabatan Imigresen mendapati maklumat pasport tertuduh tidak sepadan, selain wujud risiko melarikan diri.

Pendakwaan turut memohon tarikh lain bagi membentangkan fakta kes dan hujahan hukuman.

Hakim Noridah Adam menolak permohonan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam, selain menetapkan 5 dan 21 Januari depan sebagai tarikh untuk pendengaran fakta kes serta hukuman.

BBerkaitan

Latest articles