KUALA LUMPUR: Penasihat kanan politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz diberi tanggungjawab baharu sebagai pegawai pemantau bagi Parlimen Pandan dan Ampang dalam usaha memperkukuh semula jentera PKR di kawasan berkenaan.
Pengumuman itu dibuat Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap pada himpunan PKR Pandan yang turut dihadiri Tengku Zafrul.
Menurut Amirudin, langkah tersebut selari dengan keputusan parti menjadikan Parlimen Pandan sebagai kawasan angkat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Beliau berkata, penyusunan semula sedang dilakukan termasuk membabitkan Pusat Khidmat Parlimen, struktur pasukan serta gerak kerja jentera di kawasan terbabit bagi memastikan pentadbiran parti kembali tersusun.
“Tengku Zafrul akan bertindak sebagai wakil kepada Perdana Menteri di kawasan itu. Anwar sendiri mahu beliau bergerak lebih aktif dan agresif di Selangor, sebab itu beliau diminta melihat keperluan di Ampang serta Pandan,” katanya.
Perubahan pengurusan itu dibuat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang sebelum ini meninggalkan PKR dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan Majlis Pimpinan PKR Selangor akan memantau pentadbiran parti di Pandan dan Ampang bagi tempoh antara satu hingga tiga bulan.
Katanya, tempoh itu penting untuk memastikan semua gerak kerja serta amanah parti dapat dilaksanakan dengan baik sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat terhadap struktur pentadbiran sedia ada.
“Kalau semuanya berjalan lancar, kita akan teruskan pengurusan yang ada. Yang penting sekarang ialah memastikan komitmen semua pihak kekal utuh,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa pucuk pimpinan parti masih membuka ruang perbincangan kepada mana-mana pihak yang kurang bersetuju dengan pengumuman tersebut demi penambahbaikan organisasi.
Dalam masa sama, Amirudin meminta seluruh anggota PKR memberi ruang kepada kepimpinan untuk menguruskan situasi semasa dengan tenang dan teratur.
“PKR sudah melalui pelbagai cabaran sebelum ini, namun kekuatan semangat ahli dan idealisme perjuangan perubahan membolehkan parti terus bertahan sehingga menjadi kerajaan hari ini,” katanya.










