PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerjasama dan muafakat dalam Jemaah Menteri masih berada pada tahap baik, sekali gus menolak gambaran seolah-olah wujud perpecahan dalam pentadbiran Kerajaan Madani.
Beliau berkata, kestabilan politik serta kesepakatan dalam kalangan anggota Kabinet menjadi antara asas penting yang membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan hala tuju negara secara berterusan.
Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai dakwaan dan gambaran berbeza di media sosial, keadaan sebenar dalam Jemaah Menteri adalah jauh lebih baik.
“Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar jelas, politik stabil, kerjasama ada dalam Jemaah Menteri, walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.
“Tapi dari segi kerjasama, umumnya kita muafakat dengan baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan boleh kita merencanakan untuk negara,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya.
Beliau pada masa sama mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang telah diraih, sebaliknya terus meningkatkan prestasi dan memastikan kestabilan politik yang ada dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, kestabilan berkenaan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan dasar serta perancangan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Kenyataan Anwar itu dilihat menjawab laporan Bloomberg sebelum ini yang memetik sumber sebagai mendakwa hubungan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semakin tegang.
Laporan berkenaan mendakwa ketegangan tersebut menyebabkan mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini berakhir lebih awal daripada kebiasaan.
Dakwaan itu dikaitkan dengan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Selain itu, laporan berkenaan turut mendakwa tekanan daripada DAP supaya pembaharuan institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun menjadi antara faktor yang merumitkan keadaan.
Anwar juga dikatakan memerlukan sokongan BN bagi memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sekiranya pindaan Perlembagaan mahu diluluskan.
Bagaimanapun, Zahid yang juga Pengerusi BN menafikan sekeras-kerasnya gambaran berhubung keretakan hubungan dalam kerajaan itu.
Beliau turut menegaskan hubungannya dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berada dalam keadaan baik, selain menafikan mesyuarat Kabinet ditamatkan lebih awal seperti didakwa.
Menurut Zahid, mesyuarat Jemaah Menteri pada hari berkenaan berakhir sekitar jam 1 tengah hari, iaitu pada waktu kebiasaannya.
Lebih penting, beliau menegaskan BN akan terus menghormati komitmen yang dibuat untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.










