“Tarik Sokongan Sekarang” – Akmal Gesa UMNO Keluar Kerajaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh secara terbuka menggesa parti itu menarik balik sokongan daripada kerajaan sedia ada, dengan menegaskan lebih baik UMNO berada di blok pembangkang yang bermaruah berbanding terus dihina oleh rakan sekutu sendiri.

Seruan keras itu dizahirkan menerusi satu hantaran di media sosial hari ini, susulan reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

Menurut Dr Akmal, tiada lagi alasan untuk UMNO terus bertahan dalam kerajaan jika parti itu berdepan penghinaan berterusan. Katanya, sudah tiba masanya pendirian tegas diambil demi maruah parti dan suara penyokong di akar umbi.

Beliau turut memetik hantaran Yeo Bee Yin yang didakwa ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Najib Razak, berkaitan Titah Adendum.

Dalam masa sama, Dr Akmal menggesa perwakilan menjadikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal berlangsung sebagai medan untuk menyuarakan denyut nadi rakyat dan akar umbi parti.

Tegasnya, PAU perlu kembali menjadi pentas suara keramat orang Melayu tanpa rasa takut atau gentar.

Beliau turut menyindir Yeo Bee Yin dengan mengingatkan wakil rakyat DAP itu agar tidak melupakan keputusan Sabah yang menolak parti berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, sambil menyifatkannya sebagai satu lagi “alasan untuk diraikan”.

Terdahulu, Yeo Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti DAP memuat naik hantaran menyebut “antara yang perlu diraikan menjelang hujung tahun”, dipercayai merujuk keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan kehakiman Najib, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin UMNO.

BBerkaitan

Latest articles