Tarik Semula Pengumuman, Muhyiddin Mahu Pertahan Jawatan Presiden Selepas Disaran Isteri

KUALA LUMPUR: Jika semalam beliau mengatakan tidak akan bertanding di pemilihan parti akan datang, hari ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pendirian berbeza.

Menyampaikan ucapan Penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) bersatu di IDCC hari ini, Muhyiddin mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan nombor satu parti berkenaan padanpemilihan akan datang.

Ini kerana isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyarankan beliau kekal dengan jawatan itu kerana ahli-ahli parti masih memerlukan kepimpinan dirinya.

“Sebenarnya kuasa yang paling besar saya nak sebutkan di sini bukan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), tidak lain adalah isteri saya. Sebenarnya ketika saya umumkan semalam, isteri saya mesej untuk minta saya kekal lagi satu penggal. Dia kata jangan kecewakan mereka (ahli), dia kata mereka perlukan awak. Mereka ikhlas.

“Saya kata, okay. Saya akan kekal untuk penggal terakhir. Isteri saya kata terima kasih kerana ini untuk bangsa dan negara. Jadi saya nak menyatakan sebab hasrat dan niat baik saudara sekalian di sini saya buat keputusan untuk menawarkan diri bertanding dalam jawatan presiden,” katanya.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin meminta semua ahli supaya berbaiah kepadanya dengan nama Allah untuk setia dengan bersatu sehingga parti itu berjaya menubuhkan kerajaan.

“Saya nak tuan dan puan berbaiah kepada saya dengan nama Allah, kita akan terus beristiqamah berjuang mendokong Bersatu sampai kita berjaya pergi ke Putrajaya,” katanya.

Pada sidang media selepas penangguhan mesyuarat, Muhyiddin menafikan keputusan semasa ucapan dasarnya semalam gimik yang sengaja dicetuskan.

“Saya bukan budak nak main main. Semuanya tertulis dalam ucapan dasar, gimik apa dengan menangis semua ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles