Taklimat SPR waktu sekolah: KPM akan dapatkan maklumat lanjut

Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mendapatkan penjelasan berhubung rungutan ibu bapa di sebuah sekolah di Kajang bahawa guru di sekolah berkenaan menjalani taklimat petugas pilihan raya pada waktu persekolahan sehingga menjejaskan tugas hakiki.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sememangnya faham bahawa keutamaan guru adalah untuk melaksanakan tugas hakiki masing-masing.

“Saya berasa SPR cukup faham dengan tugas dan tanggungjawab guru. Saya akan dapatkan maklumat lanjut berkaitan kes yang disebut itu daripada SPR.

“Secara umumnya walaupun pihak SPR nak adakan taklimat, kita tahu bahawa SPR faham jika guru-guru bertugas pada waktu itu maka keutamaan adalah untuk mereka bertugas di sekolah masing-masing.

“Kalau dibuat taklimat panggil satu sekolah siapa nak jaga anak-anak kita di sekolah. Cuma kes ini, saya nak kena semak apa konteksnya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw KPM di Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 5(1) Putrajaya hari ni.

Radzi berkata, KPM sentiasa bekerjasama dengan SPR.

Sebuah portal berita semalam melaporkan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jalan Reko, Muhamad Nasron Muhamad Nasir berpendapat SPR tidak sepatutnya ‘memaksa’ guru menghadiri taklimat petugas pilihan raya umum (PRU) ketika waktu persekolahan.

Beliau dilaporkan berkata, SPR sepatutnya bijak memilih waktu yang sesuai biarpun meskipun urusan itu bawah arahan Seri Paduka Baginda, dan tidak menjejaskan pembelajaran murid.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM sudah menyampaikan hasratnya untuk peruntukan kementerian itu dalam Bajet 2023 termasuk cadangan menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Beliau berkata, apa pun keputusannya akan diketahui apabila Bajet 2023 dibentangkan kelak.

BBerkaitan

Latest articles