Tak Timbul Soal Kosongkan Kerusi Untuk Najib

PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali enggan memikirkan kemungkinan untuk beliau mengosongkan kerusi itu jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seei Najib Razak dibebaskan.

“Soal mengosongkan kerusi ini, buat sementara ini masih belum timbul,” ujarnya.

Terdahulu wujud khabar angin kononnya beliau perlu melepaskan kerusi yang dimenangi jika beliau menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memberi laluan kepada Najib sekiranya penyandang Parlimen itu dibebaskan daripada penjara.

“Apa yang penting ialah amanah saya laksanakan dulu. Yang lain itu, saya fikir kurang penting untuk kita bicarakan setakat ini,” tambahnya.

Sh Mohmed Fuzi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan (DUN) Peramu Jaya itu berkata, apa yang penting ketika ini adalah untuk memenangi kerusi panas tersebut.

Sebelum ini hangat diperkatakan bahawa Mohd Nizar, yang juga anak sulung kepada Najib bakal mempertahankan kerusi bapanya.

Namun BN Pahang mencalonkan Mohd Nizar di kerusi DUN Peramu Jaya.

Lebih lanjut Sh Mohmed Fuzi menjelaskan, beliau terpilih bertanding di kerusi legasi dua Perdana Menteri itu bersandarkan kepada pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

“Saya bersyukur pucuk pimpinan memilih saya bukan kerana saya istimewa, saya terbaik tapi apa yang penting saya pernah berkhidmat di sini. Dari segi rekodnya, hampir empat penggal iaitu hampir 20 tahun,” ulasnya.

Tambahnya, beliau juga pernah menjadi setiausaha sulit kanan ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Untuk rekod, Najib pertama kali bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil Pekan pada 1976 ketika berusia 23 tahun berikutan kematian bapanya dan bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein seterusnya mengekalkan kerusi itu dalam lapan pilihan raya lalu.

BBerkaitan

Latest articles