Sultan S’gor Tegur Pemimpin Politik Gemar Keluar Fatwa, Sifatkan Ia Trend Membahayakan

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin politik yang membuat fatwa sendiri sejak kebelakangan ini menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda menyifatkan ia sebagai satu trend yang amat membahayakan.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam menegaskan di negara ini, fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti setelah mendapat perkenan dari Raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan sesuatu fatwa itu.

“Di samping itu Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) juga bertanggungjawab di dalam mengeluarkan pandangan hukum setelah perbincangan dengan mufti-mufti dari setiap negeri diadakan dan setelah mendapat perkenaan dari Majlis Raja-raja.

“Selanjutnya pandangan hukum tersebut diangkat untuk pertimbangan setiap Jawatankuasa Fatwa Negeri dan mendapat perkenan Raja bagi sesebuah negeri untuk difatwakan.

“Sesuatu fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan individu seorang mufti sahaja bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli samada di dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI dan/atau Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri yang terdiri daripada alim ulama dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

“Ini adalah bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat,” titahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda juga percaya, jika setiap pemimpin politik dibenarkan membuat fatwa sendiri, keadaan itu sudah pasti mencetuskan perbalahan, perpecahan dan keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.

“Oleh itu suka Beta mengingatkan dan menggesa kepada rakyat sekelian terutama pemimpin-pemimpin politik agar segera memberhentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggung-jawab ini demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

“Beta tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggung-jawab ini.

“Ingatan Beta ini tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak atau golongan mana-mana parti politik. Malah Beta memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelakkan kenyataan Beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik,” titahnya lagi.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak untuk tidak menggunakan agama demi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri.

“Beta juga menyeru kepada pihak polis agar mengambil tindakan yang pro aktif di dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif yang melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu supaya menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sama di masa hadapan,” titah baginda.

Baginda menegaskan Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan di dalam memelihara hak orang-orang Melayu dan agama Islam sentiasa terjamin.

Di samping itu Raja-Raja Melayu juga bertanggungjawab menjamin hak dan keselamatan kaum-kaum lain yang membentuk rakyat Malaysia.

“Rakyat serta pemimpin politik tidak perlu bimbang tentang pemeliharaan hak kaum masing-masing dan agama yang dianuti oleh setiap kaum di negara ini. Ini adalah kerana undang-undang negara khususnya Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan hak bagi semua kaum dan agama kepada setiap rakyat Malaysia. Manakala Raja-Raja Melayu berperanan memayungi dan menjamin semua hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut sentiasa dipelihara.

“Sebagai mengakhiri kenyataan Beta ini, Beta merayu kepada semua pemimpin politik khususnya pemimpin politik yang senior dan veteran supaya mengelak dari memecahbelahkan rakyat di negara ini sebaliknya mengambil pendekatan bagi menanam dan memupuk semangat perpaduan yang erat di kalangan semua kaum yang berlainan agama demi menjamin kesejahteraan negara.

“Peliharalah negara kita dengan baik kerana inilah satu-satunya tanah tumpah darah kita yang perlu kita pertahankan kemakmuran dan kedaulatannya,” titah baginda.

BBerkaitan

Latest articles