KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub akui ketiadaan bekalan telur di pasaran sejak beberapa tempoh yang lalu amat meresahkan pengguna.
Bahkan masalah ini juga memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi kerana banyak perniagaan yang memerlukan telur, selain penggunaan di rumah.
“Saya sedar proses pengeluaran telur juga ambil masa enam bulan daripada seekor anak ayam sehingga bertelur berbanding tempoh ayam pedaging yang paling lama pun hanya 42 hari,” katanya selepas bertukar nota serah tugas dengan penyandang sebelumnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang dilantik dalam Kabinet baharu berpindah ke Kementerian Kerja Raya.
Salahuddin juga memberi jaminan beliau akan kerap turun ke lapangan bagi mendapatkan maklumat sebenar permasalahan kekurangan bekalan telur.
Dalam pada itu, Salahuddin menaruh keyakinan terhadap kepakaran dalam negara yang melibatkan pelbagai agensi awam dan pemain industri tempatan berupaya mencipta inovasi bagi penyelesaian masalah berkenaan.
Sehubungan itu kementerian akan meneliti beberapa penyelesaian terbaik dalam membantu golongan pengguna, termasuk isu harga, tempoh kawalan, kaedah subsidi, pengeksportan dan kos produksi terutamanya input ternakan.
Salahuddin dalam masa yang sama, turut bagaimana Malaysia yang dikenali sebagai negara pengeluar telur ayam terbesar di rantau Asia Tenggara dengan sekitar 113 peratus lebih daripada keperluan sara dalam negara, berdepan dengan masalah seperti ini.
Sedangkan hampir 300 ladang ternakan ayam di seluruh negara ketika ini berupaya dalam memenuhi keperluan permintaan 30 juta biji telur sehari sehingga ada lebihan boleh dieksport.
Sehubungan itu, beliau berusaha memastikan isu itu tidak berulang lagi dan akan mengadakan beberapa mesyuarat dengan pasukan kementerian sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri.
Langkah sewajarnya itu tegas Salahuddin amat perlu digerakkan seberapa segera yang boleh kerana kementerian tersebut turut menjadi urus setia bagi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.
Bagaimanapun tambah beliau, segala dasar, program dan inisiatif yang dilaksanakan kementerian itu sebelum ini akan diteruskan sekiranya terbukti banyak memberi kesan positif kepada rakyat.
“Saya juga akan kerap bersama dengan rakyat untuk mendapatkan ‘first hand information’ dan mengadakan sesi libat urus agar pelan tindakan efektif dapat dilakukan kementerian ini,” katanya.
Isu bekalan telur ayam diperkatakan masyarakat sejak beberapa bulan lalu, bahkan turut menjadi modal kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.
Keadaan kembali pulih seketika selepas selesai PRU15, namun ramai mengadu stok dijual kemungkinan besar bekalan lama yang sengaja disorok pihak pemborong atau peniaga.
Bahkan stok berkenaan juga cepat habis di pasaran akibat sikap pembelian panik oleh para pengguna.
Ada juga yang mengaitkan wujudnya ‘permainan’ oleh pihak kartel kerana telur dijual adalah jenis lama sehingga mengakibatkan harga runcit semasa melonjak begitu mendadak