SPRM Maklum Siasatan Berhubung Pecah Amanah Babitkan Menantu Muhyiddin Selesai

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap kes pecah amanah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun selesai sepenuhnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tumpuan kini diberikan kepada usaha membawa pulang Muhammad Adlan bersama peguamnya, Mansoor Saat, bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah dalam negara.

Namun katanya, proses itu tidak mudah kerana kedua-dua individu berkenaan dipercayai berada di luar negara dan memiliki aset di beberapa lokasi yang masih belum dikenal pasti sepenuhnya.

“Sudah sekian lama kami mengesan mereka. Usaha membawa pulang suspek amat mencabar, terutama dalam mengesan aset-aset yang mungkin disembunyikan di luar negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-2, hari ini.

Difahamkan, Muhammad Adlan yang menghilangkan diri sejak lebih dua tahun lalu kini dipercayai menjalani kehidupan mewah di sebuah negara di Asia Barat.

Azam turut mendedahkan bahawa Muhammad Adlan tidak lagi menggunakan pasport Malaysia selepas dokumen perjalanan tersebut dibatalkan oleh pihak berkuasa.

“Pasport Malaysia miliknya sudah dibatalkan dan tidak boleh diperbaharui. Kami percaya beliau menggunakan pasport negara lain untuk keluar dan bergerak ke luar negara,” katanya.

Menurut Azam, SPRM kini meneliti kemungkinan Muhammad Adlan menggunakan individu lain sebagai proksi untuk menguruskan aset-asetnya di luar negara, namun perkara itu masih dalam semakan lanjut.

“Mengesan aset di luar negara bukan mudah kerana ia memerlukan kerjasama antarabangsa. Walaupun aset berjaya dikenal pasti, kami masih perlu membuktikan kaitannya dengan kes ini,” ujarnya.

Tambah beliau, SPRM tidak bercadang memanggil mana-mana pihak lagi untuk memberi keterangan kerana siasatan dianggap lengkap.

Muhammad Adlan dikehendaki bagi membantu siasatan kes pecah amanah jenayah, manakala Mansoor, 70, dilaporkan turut melarikan diri ke luar negara tidak lama selepas itu.

BBerkaitan

Latest articles