SPRM Dedah Jejak Menantu Muhyiddin, Bermain Golf, Hidup Mewah Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua tahun menghilang, ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Memetik sumber seperti yang dilaporkan New Straits Times (NST), Adlan yang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu kerap berulang-alik ke luar negara termasuk bermain golf di Thailand dan menghadiri acara eksklusif di rantau berkenaan.

Beberapa foto yang dikongsi kepada NST menunjukkan Adlan bergaul dengan tokoh kenamaan Asia Barat, malah salah satu gambar memaparkan potret pemimpin negara tersebut di latar belakang.

Adlan, 49, dikehendaki SPRM berhubung kes pecah amanah projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS) bernilai RM595 juta, bersama peguamnya, Mansoor Saat, yang turut melarikan diri ke Jakarta.

SPRM sebelum ini mendedahkan kedua-dua mereka dipercayai bersembunyi di negara yang tiada perjanjian ekstradisi dengan Malaysia, sekali gus menyukarkan proses membawa pulang.

“Adlan pernah dihubungi beberapa kali antara Mei hingga Ogos 2023 dan menjanjikan akan pulang, namun gagal berbuat demikian,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

SPRM telah mengeluarkan Notis Merah Interpol, membatalkan pasport kedua-duanya serta menyerahkan dokumen penuh kepada pihak antarabangsa bagi mengesan lokasi mereka.

Selepas gagal dikesan, Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju supaya Adlan dan Mansoor didakwa secara in absentia (tanpa kehadiran).

“SPRM menegakkan undang-undang tanpa pilih kasih. Semua langkah, termasuk koordinasi dengan Interpol, dibuat secara sah dan telus,” tegas Khusairi.

Siasatan mendapati kira-kira RM50 juta dana hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sepatutnya digunakan untuk membayar balik sukuk projek NERS telah diselewengkan.

Adlan sebelum ini menafikan dia melarikan diri dan mendakwa berada di luar negara atas urusan peribadi.

BBerkaitan

Latest articles