SPR Teliti Tempoh Adakan Pilihan Raya Melebihi 60 Hari, Mudahkan Persiapan Rapi Dilakukan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melihat kemungkinan memanjangkan tempoh untuk mengadakan pilihan raya melebihi 60 hari selepas pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti mana yang diperuntukkan ketika ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, perkara itu bagi membolehkan pihaknya melaksanakan persiapan sebaik mungkin berikutan pertambahan jumlah pengundi yang ramai setiap tahun.

“Kita akan cuba panjangkan lagi sebab tempoh sekarang ini (60 hari), daripada dahulu hingga sekarang agak sempit (suntuk) sikitlah, dengan keadaan jumlah pengundi yang banyak, iaitu daripada 14.9 juta sebelum ini meningkat kepada 21.1 juta.

“Kita juga kena ingat pengundi berusia 18 tahun ini tiap-tiap tahun akan bertambah sebanyak setengah juta,” katanya pada sidang media malam tadi, lapor Bernama.

Terdahulu, beliau hadir ke pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Jelas beliau, SPR perlu menyediakan persiapan termasuk pusat dan saluran mengundi serta petugas berikutan peningkatan jumlah pengundi yang tinggi.

Tambhanya, pihaknya berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

“Ia akan memudahkan petugas kita, memudahkan kita membuat penyelarasan, itu yang terbaik tapi dari segi kos, sama juga,” katanya.

Ditanya waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan, Abdul Ghani berkata, ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.

Abdul Ghani berkata, secara keseluruhan, proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi agak baik.

“Secara keseluruhan saya lihat untuk PRU15, peratus keluar mengundi ialah sebanyak 74.71… satu gambaran masyarakat kita mengambil tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles