KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memimpin usaha penyatuan ummah dan menyeru agar parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana pihak yang mahu bersama perjuangan mereka.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, peningkatan sokongan pengundi muda terhadap Perikatan Nasional (PN) dan PAS dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu membuktikan bahawa generasi muda menyambut baik mesej penyatuan parti-parti politik Melayu-Islam.
Beliau memetik data PRN Negeri Sembilan yang menunjukkan aliran sokongan signifikan daripada anak muda seawal usia 18 hingga 40 tahun.
“Pengundi yang berusia 18 hingga 40 tahun, memberi undi kepada PN sebanyak 65.7 peratus berbanding Pakatan Harapan (PH) 30.9 peratus.
“Manakala pengundi baharu yang juga majoritinya anak muda, 75 peratus memilih untuk mengundi PN.
“Kenapa benda ini boleh berlaku? Kerana mesej yang kita bawa ialah kita mengusahakan satu penyatuan dalam kalangan parti-parti politik terbesar Melayu-Islam, dan anak muda menyambut penyatuan ini dengan tangan yang sangat terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi mengingatkan kepimpinan parti agar tidak meletakkan halangan bagi mereka yang mahu mendekati PAS, sebaliknya bersedia menerima kehadiran ahli dan penyokong baharu.
“Dewan kita besar, pintu yang nak masuk dewan itu juga kena besar. Kalau dewan kita besar tapi pintu kita buka kecil, orang nak masuk tak boleh.
“Kita kena buka pintu seluas-luasnya kepada siapa sahaja yang nak bersama PAS… jom bersama dengan PAS sebab sekarang orang yakin kepada perjuangan PAS,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan cabaran mengurus generasi muda yang kini menjadi penentu masa depan negara.
Menurutnya, demografi Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kira-kira 60 hingga 65 peratus daripada 34.2 juta penduduk negara ini berumur bawah 40 tahun.
“Tugasan menangani pengundi muda bukan hanya terletak pada sayap yang ada nama Pemuda, tetapi terletak pada semua orang yang mahu melihat negara ini maju ke hadapan.
“Anak muda sifatnya hari ini mereka tidak mahu terikat kepada organisasi… tapi ikut program PAS, okey.
“Mereka mahu segera, cepat dapat jawapan apa-apa isu yang berlaku. PAS perlu mendepani cabaran ini di hadapan, jauh mengatasi orang lain,” katanya.
Afnan Hamimi turut merakamkan penghargaan kepada pengundi muda, pencipta kandungan (content creator), serta influencer yang giat mempertahankan dan menerangkan dasar parti di platform media sosial seperti TikTok.










