Sokongan MP Bebas Tak Termasuk Dalam Jumlah 107, Kata Anwar

Selepas mendakwa menerima sokongan daripada 107 ahli parlimen, hari ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah berkenaan tidak termasuk sokongan daripada ahli parlimen bebas.

PH Hanya Ada 107 Sokongan Ahli Parlimen

Menerusi kenyataan medianya, Anwar memberitahu jumlah 107 itu hanya dikira berdasarkan ahli-ahli parlimen daripada setiap parti politik yang terlibat dalam mesyuarat PKR, DAP, Amanah, serpihan Bersatu dan parti Warisan pada Selasa baru-baru ini.

“Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima banyak persoalan berkenaan jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat dari pihak PH, Warisan dan kumpulan Bersatu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ingin dimaklumkan, 107 Ahli Parlimen seperti yang diperjelaskan sewaktu sesi Facebook Live Anwar pada 10 Jun lalu, adalah berdasarkan jumlah diwakili setiap parti yang hadir sewaktu mesyuarat PH bersama Bersatu dan Warisan pada 9 Jun 2020.

“Ini belum mengambil kira Ahli Parlimen Bebas ataupun mana-mana pihak lain yang tidak hadir dalam mesyuarat tersebut,” demikian memetik kenyataan Anwar.

Semalam, ketika mengadakan sesi siaran langsung di Facebook, Anwar menjelaskan PH menerima sokongan daripada 107 ahli parlimen.

Malah gabungan pembangkang itu yang juga dikenali sebagai PH Plus mengakui sedang merancang strategi untuk kembali menjadi kerajaan, setelah tersungkur selama 22 bulan pentadbiran.

BBerkaitan

Latest articles