KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara bakal melalui perubahan besar apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan peperiksaan Darjah 4 bermula tahun 2026, selari dengan pengenalan semula Matriks Pembelajaran Malaysia bagi mengukur pencapaian murid lebih awal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan baharu ini bertujuan mengesan tahap penguasaan asas murid seawal mungkin tanpa menunggu sehingga Darjah 6, sekali gus membolehkan tindakan pemulihan dan sokongan diberi sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah.
Menurut beliau, peperiksaan Darjah 4 akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan melibatkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, dengan fokus kepada literasi, numerasi serta kemahiran berfikir.
Katanya, murid yang dikenal pasti lemah akan dibimbing secara intensif sepanjang tempoh Darjah 5 dan Darjah 6 supaya mereka benar-benar bersedia sebelum memasuki Tingkatan 1.
Mengulas kebimbangan tentang tempoh pelaksanaan yang singkat, Anwar menegaskan kerajaan mengutamakan keperluan asas sekolah terlebih dahulu.
Jelasnya, RM1 bilion telah dibelanjakan pada 2023 bagi membaiki kemudahan asas termasuk tandas sekolah sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap kebajikan pelajar.
Sebagai langkah tambahan, lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah di setiap daerah akan dipilih untuk dilengkapi kemudahan terbaik, bukan sahaja dari segi infrastruktur malah kualiti pengajaran bagi subjek teras.
Dalam masa sama, laluan pendidikan awal turut disusun semula apabila kemasukan prasekolah digalakkan bermula umur lima tahun, manakala kemasukan Darjah 1 pada umur enam tahun akan dilaksanakan mulai 2027, dengan kelonggaran kepada ibu bapa yang merasakan anak mereka belum bersedia.
Keseluruhan sistem prasekolah juga akan diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan bagi memastikan kualiti dan standard yang lebih seragam di seluruh negara.
Bagi peringkat menengah pula, penentuan laluan bakat pelajar akan dimulakan lebih awal iaitu seawal Tingkatan 1 berbanding Tingkatan 3 sebelum ini, dengan penekanan kepada bidang STEM dan digital supaya pelajar dapat merancang masa depan mereka lebih awal.
Mengulas isu kebajikan guru, Perdana Menteri mengakui beban tugas akan meningkat seiring reformasi pendidikan. Oleh itu, kerajaan menyediakan tambahan RM100 juta untuk menaik taraf kemudahan guru termasuk bilik guru serta mengurangkan beban kerja pentadbiran.
Dalam sektor pendidikan tinggi, kerajaan memutuskan sistem matrikulasi, Tingkatan 6 dan pra-universiti diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mengiktiraf pelajar peringkat itu sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan tinggi.
Kerajaan juga memperluaskan pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar miskin melalui bantuan PTPTN serta kira-kira 3,000 pelajar OKU di IPTA, politeknik dan kolej komuniti bermula tahun ini.
Selain itu, Akta Politeknik dan Komuniti sedang dirangka dengan 10 politeknik dikenal pasti untuk dinaik taraf secara berperingkat, khususnya dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Semua inisiatif ini adalah langkah besar bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih inklusif, moden dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.










