Sheikh Al-Azhar Hubungi PM, Titip Doa Kesembuhan Buat Anwar

​KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof Dr Ahmad al-Tayyeb yang bertanyakan khabar serta mendoakan kesembuhan buat beliau susulan pembedahan yang dijalankan baru-baru ini.

​Anwar menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada Sabtu menzahirkan penghargaan mendalam atas keprihatinan dan doa yang dititipkan oleh pemimpin tertinggi institusi keilmuan Islam terkemuka dunia itu.

​”Saya amat menghargai doa serta ingatan beliau dan memaklumkan bahawa pembedahan telah berjalan lancar, sementara proses pemulihan juga berlangsung dengan amat baik, alhamdulillah,” katanya.

​Menurut Anwar, perbualan tersebut turut menyentuh mengenai kesinambungan usaha dakwah dan pengajian bagi memperluas kefahaman Islam di peringkat global.

​Jelas beliau, pandangan serta bimbingan Dr Ahmad al-Tayyeb sentiasa menjadi pedoman penting dalam mengangkat tradisi keilmuan Islam yang luhur demi membawa rahmat kepada seluruh umat.

​Mengimbas kembali hubungan erat yang terjalin, Anwar berkata kunjungan Sheikh al-Azhar ke Malaysia sebelum ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada umat Islam di negara ini.

​”Insya-Allah, kami berharap dapat kembali bertemu di Kaherah atau Kuala Lumpur bagi meneruskan ikhtiar dakwah dan pengembangan ilmu demi kemaslahatan umat sejagat,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles