Seorang Lagi Pegawai Kanan Tentera Darat Ditahan Bantu Siasatan Kes Rasuah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pegawai Tentera Darat itu ditahan sekitar jam 11 pagi ketika hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberikan keterangan.

“SPRM menahan seorang lagi pegawai tinggi ATM pada jam 11 pagi hari ini bagi membantu siasatan lanjut. Perkembangan kes akan dimaklumkan dalam sidang media SPRM pada Khamis,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pegawai berkenaan dilaporkan tiba di ibu pejabat SPRM sekitar jam 10 pagi sebelum ditahan sejam kemudian.

Dalam perkembangan sama, Azam turut mengesahkan bahawa bekas Panglima Tentera Darat telah dibebaskan daripada tahanan reman pada jam 6.30 petang, Isnin lalu.

Sebelum ini, bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah melibatkan projek tender perolehan TDM.

Turut direman sebelum ini ialah dua individu lain iaitu isteri pertama suspek selama tiga hari sehingga 10 Januari dan isteri kedua selama enam hari sehingga 13 Januari.

Perintah reman terhadap kesemua individu tersebut dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

BBerkaitan

Latest articles