KUALA LUMPUR: Semua aliran pendidikan termasuk sekolah agama rakyat (SAR), institusi tahfiz, sekolah antarabangsa dan sekolah aliran Cina serta UEC diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia mengikut kurikulum kebangsaan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan pembukaan Persidangan Parlimen, yang menekankan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai asas pembinaan jati diri dan negara bangsa.
Berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 hari ini, Anwar berkata majoriti besar rakyat Malaysia daripada semua kaum dan daerah menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu, termasuk pelaksanaannya secara menyeluruh dalam semua aliran pendidikan di negara ini.
Menurut beliau, meskipun bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai bahasa rasmi negara, penguasaannya tidak boleh bersifat asas semata-mata, sebaliknya perlu terus dipertingkatkan sebagai bahasa perantara dan bahasa ilmu.
“Penguasaan bahasa Melayu bukan sekadar tahu menggunakannya, tetapi mesti dimantapkan sebagai lingua franca dan bahasa ilmu. Pengajaran bahasa di sekolah dan universiti juga perlu diperkasakan selari dengan tuntutan semasa,” katanya.
Anwar berkata pelaksanaan pembakuan bahasa membawa maksud penyeragaman serta peningkatan keupayaan bahasa, justeru kerajaan menegaskan keperluan mewajibkan Bahasa Melayu mengikut kurikulum Kementerian Pendidikan, khususnya di peringkat SPM.
Beliau menjelaskan ketetapan itu meliputi semua aliran sekolah, termasuk sekolah antarabangsa, dengan semua pelajar warganegara Malaysia diwajibkan menduduki peperiksaan Bahasa Melayu SPM serta mata pelajaran Sejarah Malaysia.
Selain itu, Perdana Menteri berkata sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah seumpamanya yang kini melibatkan lebih 400,000 pelajar di seluruh negara turut tertakluk kepada ketetapan tersebut.
“Semua bantuan kerajaan adalah bersyarat. Namun, manhaj tarbiah dan kitab-kitab pengajian yang telah ditetapkan tidak akan diganggu,” katanya.
Beliau berkata ketetapan sama turut melibatkan sekolah aliran Cina dan UEC, meskipun majoriti pelajar kini telah mengambil SPM dan lulus mata pelajaran Bahasa Melayu, selaras dengan peraturan sedia ada yang turut mewajibkan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia.
Menurut Anwar, pendekatan ini akan menamatkan polemik berpanjangan berhubung laluan pelajar dari sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat dan UEC ke peringkat pendidikan tinggi, selagi syarat yang ditetapkan dipatuhi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan keperluan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu.
Beliau berkata standard dan mutu pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan yang berdepan cabaran global termasuk transformasi digital, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI).
Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia mencatatkan rekod baharu apabila jumlah perdagangan negara mencecah RM3 trilion buat pertama kali dalam sejarah.
Sehubungan itu, beliau berkata semua sekolah kebangsaan mesti menyediakan guru yang mencukupi bukan sahaja bagi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, malah bagi bahasa pilihan seperti bahasa Cina, Tamil dan Arab mengikut keperluan murid.
“Kita berharap dasar ini dapat menamatkan polemik bahasa yang telah berlarutan sekian lama. Menjelang 2026, dengan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh, kita yakin isu ini dapat diselesaikan,” katanya.










