SEBERANG PERAI: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdullah Fahim menunjukkan ketabahan luar biasa apabila mengimamkan solat jenazah ayahnya sebelum kembali menduduki peperiksaan bertulis pertama semalam.
Pelajar berkenaan, Ahmad Khairuddin Md Nor, diuji hebat apabila ayahnya meninggal dunia secara mengejut pagi kejadian selepas rebah ketika menerima rawatan di sebuah klinik.
Difahamkan keluarga memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah sekitar jam 2.30 pagi namun meminta perkara itu dirahsiakan buat sementara waktu bagi mengelakkan emosi Ahmad Khairuddin terganggu sebelum menjawab Kertas 1 Bahasa Melayu.
Menurut guru, sebelum memasuki dewan pelajar itu mengadu berasa tidak sedap hati namun berjaya ditenangkan pihak kaunselor dan guru bertugas, membolehkannya meneruskan peperiksaan seperti dijadualkan.
Hanya selepas tamat kertas pertama, barulah beliau dimaklumkan tentang pemergian ayahnya.
Ahmad Khairuddin kemudian mengimamkan solat jenazah dan membantu menguruskan pengebumian sebelum dibawa oleh guru ke SMK Bertam Indah untuk menduduki Kertas 2 Bahasa Melayu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad, berkata sebaik dimaklumkan mengenai kematian itu, pihak sekolah segera menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membolehkan Ahmad Khairuddin mengambil peperiksaan sebagai calon tumpang.
“Keluarga memohon agar pelajar dibenarkan meneruskan kertas seterusnya di sekolah berdekatan, termasuk Bahasa Inggeris dan Sejarah. Kami bersama PPD Seberang Perai Selatan turut menziarahi keluarga dan memberi sokongan emosi,” katanya.
Beliau menambah bahawa guru bertugas ditetapkan untuk menemani pelajar sepanjang peperiksaan, manakala kaunselor meneruskan intervensi psikososial bagi memastikan pelajar itu berada dalam keadaan stabil.










