Anwar Tegaskan Tiada Campur Tangan Dalam Siasatan Terhadap Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau, Shamsul Iskandar Mohd Akin, selepas pemimpin itu mendakwa wujud cubaan menjatuhkannya dengan isu yang boleh menjejaskan imej kerajaan Madani.

Anwar dalam kenyataan menzahirkan penghargaan atas khidmat panjang Shamsul, yang juga Ketua PKR Melaka, sepanjang beliau memegang jawatan tersebut.

Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi ruang penuh untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

“Kerajaan Madani kekal berpegang pada prinsip ketelusan dan integriti, dan menyerahkan proses siasatan dilakukan mengikut undang-undang,” katanya.

Shamsul semalam mengumumkan pengunduran dirinya dengan alasan perlu mempertahankan diri susulan dakwaan yang dibangkitkan terhadapnya.

Beliau sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi surat sokongan bagi projek sebuah hospital.

Tidak lama selepas itu, sebuah laporan mendakwa ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, pernah membelanjakan kira-kira RM629,000 bagi pihak Shamsul, termasuk kerja ubah suai hartanah, cerut premium dan sut tempahan khas.

Tei kini berdepan pertuduhan memberi rasuah kepada dua Adun Sabah melibatkan skandal pelesenan mineral.

Susulan pendedahan tersebut, Perikatan Nasional (PN) menggesa SPRM membuka siasatan terhadap Shamsul atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

BBerkaitan

Latest articles