KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, daripada pertuduhan menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dalam satu ceramah politik pada Julai 2023.
Muhammad Sanusi, bagaimanapun masih menghadapi satu lagi pertuduhan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan perbicaraan bagi kes ini bermula 24 hingga 28 Februari tahun depan.
Keputusan ini dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dikemukakan oleh Sanusi. Sebelumnya, representasi pertama pemimpin Pas itu telah ditolak pada Mei lalu.
Dalam prosiding, pendakwaan memohon agar Sanusi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kes pertama, namun mendapat bantahan menerusi peguamnya, Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Beliau menegaskan bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk membebaskan tertuduh sepenuhnya mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes ini perlu diselesaikan secara muktamad. Saya mohon anak guam dibebaskan sepenuhnya kerana pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes,” kata Awang Armadajaya.
Mahkamah akhirnya memutuskan untuk melepas dan membebaskan Muhammad Sanusi daripada pertuduhan pertama.
Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pertuduhan pertama berkaitan Sultan Selangor telah menerima perhatian selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan maaf Sanusi pada 26 September lalu, atas dasar ukhuwah sesama Islam dan bangsa Melayu.
Sementara itu, pertuduhan kedua yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong akan diteruskan dengan perbicaraan penuh Februari tahun depan.
Peguam pemerhati Datuk Seri Salehuddin Saidin turut hadir bagi pihak Sultan Selangor semasa prosiding hari ini.










