Saksi Dakwa Diugut Patah Tangan, Kaki Dalam Mesyuarat, Mahkamah Diberitahu

KUALA LUMPUR: Seorang saksi pendakwaan memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa beliau diugut untuk dipatahkan tangan dan kaki ketika menghadiri mesyuarat di sebuah pejabat di Jalan Klang Lama, Julai tahun lalu.

Lim Su Shen, yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes ugutan jenayah terhadap Sim Hing Foo, mendakwa kejadian itu berlaku ketika beliau menghadiri mesyuarat jualan bersama pembantu peribadinya di pejabat ACA Management Group Sdn Bhd pada 23 Julai 2025.

Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim, Arunjothy a/p M. Selvaraju, Lim berkata beliau dan pembantu peribadinya dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan sebelum seorang lelaki yang dipercayai kakitangan tertuduh dilihat turun melalui tangga dan mengunci pintu menggunakan rantai serta mangga.

Menurut saksi, sebelum dibawa masuk ke bilik mesyuarat, beberapa individu yang dipercayai pengawal peribadi tertuduh telah menggeledah badannya dan mengambil barangan peribadi miliknya, termasuk jam tangan, dompet, kunci kereta serta telefon bimbit.

Lim mendakwa ketika berada di dalam bilik mesyuarat, Sim menunjukkan satu dokumen Excel kepadanya sambil menghentak meja berhubung dakwaan bahawa beliau telah mengambil wang syarikat.

Beliau turut mendakwa tertuduh mengugut untuk mematahkan tangan dan kakinya, selain menyatakan bahawa tertuduh mengetahui lokasi kediaman ahli keluarganya.

Saksi juga mendakwa Sim menyatakan bahawa akaun banknya boleh dibekukan melalui individu yang dikenalinya di Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam keterangannya, Lim turut mendakwa seorang individu yang dipercayai pengawal peribadi tertuduh telah memegang mukanya bagi membolehkan telefon bimbit iPhone miliknya dibuka menggunakan fungsi pengecaman wajah.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa kejadian di dalam bilik mesyuarat itu dipercayai dirakam menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV), selain empat kamera yang menurutnya dipasang pada setiap penjuru meja mesyuarat.

Lim seterusnya mendakwa beliau tidak dibenarkan meninggalkan premis berkenaan selama kira-kira 12 jam sebelum akhirnya dibenarkan pulang dengan syarat meneliti dokumen yang dikaitkan dengan dakwaan pengambilan wang syarikat.

Saksi berkata beliau kemudiannya cuba menghubungi Sim bagi memaklumkan perkara berkaitan dokumen berkenaan, namun panggilannya tidak dijawab.

Ketika disoal pihak pendakwaan mengenai kelewatan kira-kira dua minggu sebelum membuat laporan polis pada Ogos 2025, Lim menjelaskan bahawa beliau bimbang terhadap keselamatan diri serta ahli keluarganya.

Beliau berkata keinginan untuk mendapatkan semula barangan peribadinya turut menjadi antara perkara yang diambil kira sebelum membuat laporan polis.

Terdahulu, pada permulaan prosiding, pihak pembelaan membantah tindakan pihak pendakwaan yang cuba mengemukakan dokumen berkaitan ujian psikologi saksi pada peringkat akhir.

Sim menghadapi pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap Lim pada kira-kira jam 11 pagi, 23 Julai 2025, di pejabat ACA Management Group Sdn Bhd, Lot 3-23, Kompleks Rimbun Scott, 289 Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Vivi Asnita Zaina’Larifin, manakala tertuduh, Sim Hing Foo, diwakili peguam daripada firma guaman Lai, Wong & Co.

Mahkamah menetapkan 30 November 2026, jam 2.30 petang, bagi sambungan perbicaraan untuk membolehkan pihak pembelaan menjalankan pemeriksaan balas terhadap Lim.

BBerkaitan

Latest articles