KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mencadangkan Hospital Putrajaya dinamakan semula sebagai Hospital Dr Hasmah Ali bagi menghargai jasa dan sumbangan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali terhadap pembangunan kesihatan awam negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata PN akan melaksanakan cadangan itu sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada masa depan.
Beliau menyokong saranan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, supaya nama isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu diabadikan pada hospital berkenaan.
“Kita boleh cadangkan. Kalau kerajaan (semasa) tak buat, lain kali kita buat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September lalu sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Dalam perbahasan sama, Hamzah turut menggesa Lembaga Tabung Haji (TH) meneliti semula syarat simpanan minimum RM15,000 bagi pendeposit yang ingin melayakkan diri memasuki senarai menunggu untuk menunaikan haji.
Menurutnya, ketetapan itu berpotensi membebankan penduduk luar bandar yang mengumpul wang secara berperingkat bagi menunaikan rukun Islam kelima.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan pendeposit sedia ada yang mungkin terkeluar daripada senarai menunggu sekiranya gagal memenuhi syarat berkenaan.
Selain itu, Hamzah mempersoalkan keberkesanan langkah kerajaan membantu TH menerusi Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sekali gus meminta perkara itu diberikan perhatian.
Beliau menegaskan pembangkang akan terus menjalankan fungsi semak dan imbang bagi memastikan dasar serta tindakan kerajaan dilaksanakan secara adil dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok.










