Sabah Terima Suntikan Baharu Pendidikan Tinggi, Kampus Kekal Politeknik Tawau Akan Dibina Di Kalabakan

TAWAU: Akses pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah bakal menerima nafas baharu apabila kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merancang membangunkan kampus tetap Politeknik Tawau di kawasan Parlimen Kalabakan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pembangunan kampus kekal ini adalah komitmen jelas kerajaan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, bagi memastikan peluang pendidikan tinggi diagih lebih seimbang di seluruh negeri.

Menurutnya, lokasi sesuai bagi pembinaan kampus berkenaan telah dikenal pasti dan beliau sendiri sudah meninjau tapak tersebut beberapa bulan lalu.

“Walaupun kampus terletak di Parlimen Kalabakan, manfaatnya akan dirasai seluruh penduduk Tawau. Tahun depan kita mula proses pengambilan tanah sebelum bergerak kepada fasa perancangan dan pembinaan di bawah RMK-13,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Zambry turut mengumumkan dasar baharu KPT yang menetapkan setiap kolej komuniti baharu diwajibkan menyediakan kemudahan asrama iaitu keperluan penting bagi Sabah yang mempunyai ramai pelajar dari kawasan pedalaman.

“Ramai pelajar Sabah dan Sarawak perlu menempuh perjalanan jauh. Banyak kolej komuniti sedia ada pula tidak mempunyai asrama. Saya sendiri turun melihat situasi di Beaufort, Tambunan dan beberapa lokasi lain,” jelasnya.

Beliau menegaskan penyediaan asrama akan memudahkan pelajar luar bandar mengikuti program TVET tanpa beban perjalanan harian yang memenatkan.

Dr. Zambry turut berkongsi perkembangan penting apabila Kabinet meluluskan penubuhan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memenuhi keperluan tenaga profesional dalam bidang perundangan tempatan, lebih-lebih lagi Sabah mempunyai undang-undang adat dan ciri perundangan tersendiri.

“Fakulti ini akan memperkukuh peranan UMS dalam melahirkan pakar undang-undang tempatan yang memahami konteks Sabah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles