SHAH ALAM: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa Pakatan Harapan (PH) semakin menjauh daripada semangat reformasi yang menjadi asas perjuangannya, sekali gus memberi bayangan Parti Bersama Malaysia (Bersama) berpotensi menjadi wadah baharu untuk meneruskan agenda perubahan tersebut.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad, beliau berkata perjuangan reformasi yang lahir daripada desakan rakyat sejak lebih dua dekad lalu kini berada dalam keadaan membimbangkan kerana didakwa semakin diketepikan demi kepentingan politik.
Menurutnya, semangat perubahan itu bukan sekadar semakin pudar, malah sedang “dicekik” oleh mereka yang terlalu selesa dengan kuasa sehingga sanggup mengorbankan cita-cita asal reformasi.
“Ia sedang dicekik oleh mereka yang terlalu selesa dengan kuasa sehingga sanggup mengorbankan cita-cita reformasi demi kepentingan politik jangka pendek.
“Saya tidak lagi melihat roh reformasi itu hidup dalam Pakatan Harapan seperti yang pernah diperjuangkan dahulu,” katanya.
Lee yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beberapa pembaharuan institusi yang pernah dijanjikan kepada rakyat masih gagal direalisasikan meskipun PH kini berada dalam kerajaan.
Beliau merujuk kepada beberapa agenda utama termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Kebebasan Maklumat serta Akta Pembiayaan Politik yang sehingga kini belum dilaksanakan.
Katanya, kegagalan memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik khususnya akan menyebabkan budaya penyalahgunaan kuasa dan rasuah terus berulang tanpa mengira siapa yang mentadbir negara.
“Kita lantang mengkritik Najib (Datuk Seri Najib Razak) dan skandal 1MDB, begitu juga dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) berhubung Jana Wibawa dan ‘Safe House’, namun kita sengaja mengabaikan punca yang melahirkan skandal-skandal ini sejak sekian lama.
“Sistem pembiayaan politik yang tidak telus, tidak terkawal dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta rasuah. Selagi akar masalah ini tidak diselesaikan, skandal baharu akan terus berulang, tidak kira siapa yang memerintah,” katanya.
Walaupun mengkritik hala tuju PH, Lee percaya perjuangan reformasi tidak akan terkubur dan akan terus diteruskan menerusi platform serta kepimpinan baharu yang benar-benar komited terhadap agenda tersebut.
“Saya hadir hari ini untuk mencari, bertemu dan bersama-sama mereka yang masih percaya bahawa reformasi bukan sekadar slogan pilihan raya, tetapi satu amanah yang mesti ditunaikan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan layanan yang didakwa diterimanya dalam PKR apabila mendakwa dikenakan tindakan tanpa melalui proses yang adil.
Menurutnya, meskipun beliau memilih untuk terus berdisiplin dan menghormati keputusan parti, peruntukan kawasan Parlimennya tetap disekat tanpa sebarang siasatan atau peluang membela diri.
“Namun balasannya ialah peruntukan untuk rakyat disekat, tiada siasatan, tiada peluang untuk didengar dan tiada proses yang adil. Hukuman dijatuhkan tanpa bicara.
“Jika itulah standard yang mahu dijadikan amalan, maka mengikut logik yang sama, esok atau lusa saya juga boleh dipecat.
“Tidak perlu siasatan. Tidak perlu pendengaran. Tidak perlu peluang mempertahankan diri. Jatuhkan sahaja hukuman tanpa bicara,” katanya.










