Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini membidas pemimpin daripada parti lamanya yang tidak berkesudahan berebut jawatan perdana menteri.
Malah katanya, rakyat sudah semakin muak melihat persengketaan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bermula dari tahun 1998 hingga ke hari ini.
Calon PM: Tak Boleh Paksa Anwar Terima Tun M
PKR Bidas Laporan Media Tun M Calon PM PH Plus
PH Tak Setuju Dr Mahathir Jadi PM Lagi?
Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memberikan reaksinya berkenaan calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus sementara gabungan pembangkang itu sedang mengatur strategi untuk kembali mentadbir kerajaan persekutuan selepas hilang kuasa selama 22 bulan memerintah.
“Cukuplah sehingga hari ini tidak selesai lagi nak pilih calon perdana menteri. Kalau itu tidak boleh diselesaikan daripada tahun 1998 rakyat diheret ke jalan raya, dan dalam kancah politik kerana dua individu ini.
“Kalau tidak A, B. Sampai bila kita nak selesaikan masalah negara, jadi saya ingat dalam tiga bulan lalu, rakyat sudah tidak tanya siapa Perdana Menteri selepas ini. Aman tiga bulan.
“Tapi kalau PH masuk balik, itulah perbincangan setiap hari. Aku PM8, PM9,” katanya kepada media sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MITI 2109, hari ini.
PH Plus, pada ketika ini masih gagal mengumumkan calon PM mereka meskipun dikatakan sudah mempunyai keputusan berhubung perkara berkenaan selepas mengadakan mesyuarat bersama pada minggu lalu.
Awal hari ini Anwar memohon maaf kepada rakyat apabila gagasan pembangkang itu masih gagal berbuat demikian.
Dipercayai PKR enggan menerima cadangan menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya.
Dalam pada itu Azmin berkata tiada keperluan untuk dirinya dan 10 ahli parlimen PKR yang telah keluar parti untuk menubuhkan parti baru kerana keutamaan untuk ekonomi, rakyat dan negara perlu diteruskan.