PRU16: Pas Ajak Ahli UMNO Hidupkan Semula Semangat MN

SIK: Pas mengulangi seruan kepada ahli dan penyokong UMNO supaya menghidupkan kembali semangat Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), khususnya demi perpaduan ummah dan kestabilan politik negara.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas kekal terbuka menerima ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan parti itu, walaupun masih bernaung dalam UMNO.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Sik yakin pengundi UMNO mampu membuat pilihan sendiri pada PRU-16 nanti dan akan bersama Pas.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi berharap hubungan baik antara ahli Pas dan UMNO dapat diperkukuhkan semula seperti ketika MN, dengan semangat saling menghormati dan bersatu sebagai satu komuniti yang berkongsi akidah serta tujuan perjuangan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu turut menegaskan Pas tidak mengamalkan diskriminasi dalam bekerjasama dengan mana-mana pihak dan menggesa ahli parti terus bekerja keras menghadapi PRU-16.

Isu MN kembali diperkatakan susulan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh agar gabungan itu diwujudkan semula, yang disambut Pas dengan syarat UMNO-Barisan Nasional keluar daripada Pakatan Harapan dan membentuk mekanisme rundingan yang jelas serta berprinsip.

BBerkaitan

Latest articles