KUALA LUMPUR: Kerajaan ketika itu telah membuat pembayaran sebanyak RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai kontrak projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) pada 2018, meskipun kemajuan kerja kedua-dua projek berkenaan hanya 13 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua projek yang diluluskan pada 2016 itu mempunyai nilai keseluruhan kontrak RM9.4 bilion dan diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau menerusi rundingan terus tanpa tender.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan pembinaan saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer dari Melaka ke Jitra, Kedah, bernilai RM5.35 bilion, manakala TSGP membabitkan saluran paip gas sepanjang 680 kilometer yang menghubungkan terminal gas Kimanis, Sandakan dan Tawau dengan nilai kontrak RM4.06 bilion.
Beliau berkata, kedua-dua projek itu dibiayai melalui pinjaman Export-Import Bank of China (China Exim Bank) yang meliputi 85 peratus nilai projek dengan jaminan kerajaan.
“Isu pokok yang berlaku ialah pembayaran wajib diluluskan mengikut jadual masa dan bukan kemajuan projek.
“Maknanya kalau baru dibayar pada bulan Disember, walaupun projek belum berjalan, itu dibayar. Saya kurang mengerti kaedahnya, tetapi itulah keadaannya menyebabkan bayaran diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Anwar menyifatkan perkara itu sebagai salah laku tadbir urus yang serius sehingga kerajaan pada 2018 terpaksa membatalkan kedua-dua projek berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih perlu meneruskan obligasi pembayaran balik pinjaman kepada China Exim Bank berjumlah kira-kira RM8 bilion berdasarkan peruntukan undang-undang dan jaminan kerajaan.
Menurutnya, beberapa rundingan terdahulu yang diusahakan bekas Perdana Menteri termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kerajaan China tidak berjaya mencapai penyelesaian.
Bagaimanapun, beliau berkata, rundingan yang dimulakan semula pada 2024 membuahkan hasil apabila perjanjian antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dan China Exim Bank bagi penyelarasan semula pinjaman bernilai RM5 bilion dimeterai pada 30 Oktober 2026.
“Kalau kita tidak teruskan perjanjian tersebut, kerugian keseluruhannya adalah RM8 bilion.
“Jadi kita dapat balik sekitar RM5 bilion ringgit daripada projek Perak dan air, bekalan air ke Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, perjanjian itu membolehkan pinjaman berkenaan digunakan untuk membiayai projek bekalan air di utara Perak dan Pulau Pinang, sekali gus mengurangkan kerugian negara kepada kira-kira RM3 bilion.
Projek berkenaan merangkumi penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kerja menaik taraf sepanjang Sungai Kurau dan terusan besar serta pembinaan loji rawatan air di Kemunting dan Bogak.
Anwar berkata, projek itu menyasarkan kapasiti bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari untuk Perak, 300 juta liter sehari bagi Pulau Pinang serta 500 juta liter sehari air mentah untuk pengairan pertanian.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan berhubung isu projek TSGP dan MPP masih belum ditutup, meskipun berdepan kesukaran kerana membabitkan maklumat serta kerjasama antara dua negara.
“Kes itu tidak ditutup, cuma melibatkan pemimpin-pemimpin yang terdahulu dan saya tidak anggap kes ini ringan.
“Bila saya dapat laporan tentang siasatan, memang tetap ada elemen sakau, tidak boleh nafikan,” katanya.
Menjawab persoalan mengenai manfaat kepada Sabah susulan projek asal yang membabitkan negeri itu tidak diteruskan, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan menyediakan beberapa projek alternatif bagi memastikan keperluan infrastruktur tenaga negeri itu terus diberi perhatian.
Antaranya, projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Lahad Datu bernilai RM644 juta yang dimulakan sejak Jun 2025 serta pembiayaan RM765 juta bagi projek talian penghantaran elektrik Southern Link.
Selain itu, projek hidroelektrik Ulu Padas bernilai RM4 bilion yang mempunyai kapasiti penjanaan 187.5 megawatt sedang dilaksanakan dengan sasaran mula beroperasi pada 2030.
“Jadi dengan cara yang demikian, kita jamin insya-Allah bekalan elektrik yang stabil dan kemudahan asas yang baik untuk negeri Sabah,” katanya.










