PRN N. Sembilan: Polis Perketat Kawalan Di Istana, Pejabat Kerajaan Elak Sebarang Provokasi

SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di beberapa lokasi strategik termasuk Istana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta pejabat kerajaan negeri susulan pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu diambil sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk cubaan pihak tertentu mencetuskan ketegangan atau provokasi akibat tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.

Beliau berkata, tanggungjawab polis bukan sekadar memastikan kelancaran proses sebelum dan semasa pengundian, malah turut meliputi fasa selepas keputusan diumumkan bagi menjamin keselamatan awam dan ketenteraman negeri.

“Kita menjangkakan beberapa lokasi tertentu akan menjadi tumpuan. Saya menyeru semua penyokong supaya bertenang, mematuhi arahan polis dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu keamanan.

“Jika berlaku perubahan kepimpinan atau ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan menang atau kalah, ia berpotensi mencetuskan pergeseran. Polis akan memastikan keadaan sentiasa terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, hari ini.

Mengulas perjalanan proses pengundian, Mohd Khalid berkata ia berlangsung dalam keadaan terkawal dan lancar tanpa sebarang insiden serius.

Katanya, sepanjang tempoh kempen PRN, polis mengenal pasti 26 kawasan panas berdasarkan rekod kejadian terdahulu yang melibatkan pergaduhan, sekali gus menempatkan pasukan Cantas bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

Menurut beliau, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditempatkan dua pasukan Cantas yang dianggotai lapan pegawai dan anggota lengkap dengan peralatan teknikal serta kamera badan bagi memantau situasi sepanjang proses pilihan raya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak 92 laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya diterima sejak PRN bermula, manakala 24 kertas siasatan telah dibuka termasuk membabitkan dakwaan sogokan wang kepada pengundi.

BBerkaitan

Latest articles