Polis Tingkat Tahap Keselamatan Sepanjang Konsert Coldplay, Orang Ramai Dinasihat Jaga Tatasusila

KUALA LUMPUR: Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan sebarang provokasi semasa atau selepas konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin juga mengingatkan orang ramai sentiasa menjaga tatasusila dan tidak mencetuskan kekacauan.

Dijangka seramai 75,000 penonton akan menghadiri konsert Coldplay yang dijadualkan bermula jam 8 malam ini.

“Pintu masuk ke dalam stadium akan dibuka kepada umum bermula 6.00 petang. Sehubungan itu, polis telah membuat segala persiapan rapi dengan melibatkan pelbagai jabatan dan unit dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki perkarangan stadium,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Polis juga menegaskan tidak bertanggungjawab terhadap barang larangan yang telah dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk atau dalam kawasan perkarangan stadium menjelang konsert tersebut.

Antara senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam stadium adalah seperti mercun, bunga api; suar; topi keledar; peralatan laser; sebarang objek tajam seperti besi dan kayu; senjata seperti parang dan lain-lain.

Turut dilarang ke dalam stadium minuman keras; payung dan tongkat; powerbank; botol air; pemetik api serta mancis pelbagai jenis rokok termasuk rokok elektronik dan dron serta pembesar suara.

“Untuk kelancaran lalu lintas di sekitar stadium, polis menasihati orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengelak kesesakan jalan raya,” ujarnya.

Orang ramai digesa patuh arahan daripada anggota polis yang bertugas selain mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur ketika sedang memandu kenderaan di sekitar stadium.

Selain itu, pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan dan tindakan saman dan penundaan kereta akan diambil terhadap mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas.

BBerkaitan

Latest articles