Polis Tangkap Lima Lelaki Terlibat Kes Rogol Berkumpulan

KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes rogol secara berkumpulan seorang gadis warga tempatan di Seksyen 2, Wangsa Maju, pada 30 Ogos lepas, telah berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt. Ashari Abu Samah berkata, kelima-lima suspek yang yang berusia 25 hingga 32 tahun diberkas di dua lokasi berasingan iaitu di sekitar ibu negara dan Kelantan.

Katanya, salah seorang daripada suspek ditahan pada 2 September lepas dan telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur semalam di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan.

Seorang lagi suspek dicekup di Taman Melawati, Kuala Lumpur dan dua lagi berjaya ditahan di Bachok, Kelantan semalam, manakala, seorang lagi di Setapak hari ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan (Rogol berkumpulan) yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashari berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, pihaknya telah berjaya menyelesaikan kes itu.

Tambah beliau, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana telah membantu polis sehingga berjaya mengesan dan menangkap semua suspek yang terlibat.

BBerkaitan

Latest articles