Polis Tangkap Lelaki Libas Remaja Perempuan

MELAKA: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis hanya enam jam selepas dipercayai menyerang seorang remaja perempuan dengan pisau ketika mangsa membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu, semalam.

Suspek diberkas di rumahnya di kawasan Tangga Batu sekitar jam 11 malam oleh sepasukan anggota dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan membawa polis menemui sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter di dapur rumahnya yang dipercayai menjadi senjata digunakan untuk menyerang mangsa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif serangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang semalam, mangsa berusia 18 tahun cedera di bahagian belakang pinggang selepas dilibas dengan objek tajam ketika membonceng motosikal yang ditunggang kakak iparnya berusia 21 tahun.

Mangsa yang mengalami luka sepanjang tujuh sentimeter dan lebar tiga sentimeter dikejarkan ke Hospital Melaka dan ditempatkan di Zon Kuning untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal turut mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan tidak mempunyai sebarang konflik dengan mana-mana individu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

BBerkaitan

Latest articles