JELEBU: Perikatan Nasional (PN) bersetuju menyerahkan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan kedua-dua parti berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pendirian yang diumumkan lebih awal oleh kepimpinan PN itu disifatkan sebagai satu langkah positif yang membuktikan komitmen kedua-dua pihak untuk mengutamakan kemenangan berbanding perebutan jawatan.
Menurutnya, sepanjang rundingan kerjasama antara BN dan PN, kedua-dua pihak langsung tidak membincangkan soal calon Menteri Besar mahupun agihan kerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PN kerana membuat deklarasi awal bahawa jawatan Menteri Besar akan diserahkan kepada UMNO dan BN.
“Kita tidak pernah berbincang siapa yang akan menjadi Menteri Besar, malah soal pembahagian kerusi Exco juga tidak pernah dibangkitkan kerana keutamaan kita ialah memastikan kemenangan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Kemahiran KEMAS di FELDA Pasoh 4, hari ini.
Jalaluddin yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, segala perbincangan mengenai jawatan hanya akan dibuat selepas rakyat memberikan mandat kepada gabungan itu untuk mentadbir Negeri Sembilan.
Katanya, pembentukan kerajaan bukan bertujuan memenuhi kepentingan individu, sebaliknya memastikan pentadbiran negeri diterajui barisan kepimpinan yang benar-benar berkelayakan.
“Kita mahu membentuk kerajaan yang mampu mentadbir dengan baik. Bukan soal memenuhi kehendak atau nafsu mana-mana pihak.
“Kalau seseorang itu tidak layak memegang jawatan tertentu, kita tidak akan melantiknya semata-mata untuk cukupkan kuota,” katanya.
Mengulas sama ada beliau turut berada dalam senarai calon Menteri Besar, Jalaluddin berkata BN tidak berdepan masalah dari segi pilihan kerana mempunyai ramai pemimpin berwibawa yang boleh dipertimbangkan.
Menurutnya, antara nama yang berpotensi ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, selain dirinya, calon BN DUN Seri Menanti, Sufian Maradzi serta beberapa lagi pemimpin lain.
“Calon kita ramai. Ada Tok Mat, ada saya, ada Sufian dan ramai lagi. Terpulang kepada kepimpinan tertinggi BN untuk membuat keputusan jika kita diberi mandat mentadbir negeri,” katanya.
BN dan PN menjalinkan persefahaman bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan dengan BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki 11 kerusi ditandingi PN dalam usaha membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya.










