IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan penjelasan terperinci di Dewan Negara esok berhubung isu kerugian pelaburan kira-kira RM200 juta yang dialami Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi pertanian Indonesia, eFishery.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tidak bercadang memberikan alasan bagi mempertahankan perkara itu, sebaliknya akan menjelaskan fakta sebenar berkaitan pelaburan berkenaan.
“Saya akan jawab soalan itu di Dewan Negara esok.
“KWAP memang berada di bawah pengawasan Suruhanjaya, namun ia merupakan institusi pengurusan dana pencen yang mempunyai panel pelaburan dan lembaga pengarah sendiri. Mereka tidak melaporkan terus kepada kita, tetapi saya tidak mahu memberi alasan. Biarlah saya bentangkan fakta sebenar esok di Dewan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan pelaburan KWAP dalam eFishery dipercayai menjadi mangsa penipuan terancang susulan dakwaan manipulasi laporan kewangan oleh pengurusan syarikat berkenaan.
Menurut kementerian itu, konsortium pelabur yang dianggotai KWAP telah mengambil beberapa langkah segera termasuk memulakan tindakan undang-undang, melaksanakan usaha pemulihan dana, meneliti semula aspek tadbir urus dalaman serta memperkukuh mekanisme kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.
Sebelum ini, eFishery yang menawarkan teknologi sistem pemakanan ikan secara automatik dilaporkan berdepan siasatan susulan dakwaan berlaku penyelewengan kewangan termasuk manipulasi penyata kewangan syarikat.
Portal perniagaan DealStreetAsia sebelum ini melaporkan KWAP melabur kira-kira AS$47.7 juta (sekitar RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Siri D eFishery pada tahun 2023.










