PKR Perak Dedah Tiga ADUN PN Akan Sokong Saarani

KUALA LUMPUR: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) didakwa bakal menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Perkara itu dimaklumkan Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dengan mendakwa, setakat ini dua daripada mereka telah bertemu dengannya pada bulan lalu dan bulan ini di sekitar Ipoh bagi menyatakan hasrat tersebut.

ADUN Hulu Kinta itu bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci berkenaan tiga wakil rakyat pembangkang itu mahupun lokasi pertemuan yang didakwa.

“Dalam pertemuan itu, antara alasan mengapa mereka menyatakan hasrat itu adalah kerana mereka beranggapan kepimpinan parti yang mereka wakili bercelaru, dan kedua sudah lama tidak diadakan mesyuarat parti.

“Dan ketiga, mereka berkata parti hanya memikirkan soal hendak merampas kepimpinan kerajaan negeri sedua ada. Jadi itu antara masalah dalaman yang dihadapi mereka,” katanya dalam sidang media bersempena dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Arafat mendakwa, keputusan yang diambil tiga wakil berkenaan selepas melihat kestabilan politik sama ada di Persekutuan dan Perak sebagai suatu perkara baik.

“Mereka mahu membantu rakyat dengan mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan di Perak dengan menyokong kepimpinan menteri besar.

“Mereka tidak akan bertukar parti sebaliknya hanya lebih bersedia memberi sokongan kepada Menteri Besar Perak. Mereka berkata kini banyak perbezaan yang baik berbanding pentadbiran sebelum ini,” dakwanya lagi.

Terdahulu ketika membahaskan Belanjawan Perak 2024, Muhamad Arafat secara ringkas mendakwa terdapat dua ke tiga ADUN Pembangkang akan menyokong blok kerajaan di bawah pimpinan Saarani.

Berdasarkan komposisi DUN Perak, sebanyak 33 kerusi Blok Kerajaan dikuasai gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional masing-masing 26 dan sembilan kerusi.

Sementara Pembangkang daripada PN menguasai 26 daripada keseluruhan 59 kerusi.

BBerkaitan

Latest articles