PKPB : Ramai-Ramai Berkumpul Ambil Gambar Bunga Keladi Bunting, 38 Orang Ditahan Polis

Pihak polis bertindak menahan seramai kira-kira 38 orang, termasuk tiga orang bayi dan enam kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah kerana berkumpul beramai-ramai di Taman Semabok Perdana, Melaka kerana mengambil gambar bunga pokok Keladi Bunting yang banyak di kawasan kolam tadahan banjir di situ semalam.

Mereka ditahan dalam Ops Covid-19 dan Cegah Jenayah Hari Raya. Seluruh negara pada waktu ini masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 9 Jun nanti. Kebenaran untuk ziarah Hari Raya Aidilfitri pun hanya diberikan kerajaan pada hari raya pertama sahaja.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Afzanizar Ahmad berkata dalam operasi kira-kira 12 tengah hari itu, mereka yang ditahan termasuk 2 remaja berusia 18 tahun ke bawah, 19 tahun hingga 55 tahun (20 orang) dan 55 tahun ke atas (7 orang).

Beliau berkata, 20 individu dewasa dikompaun RM1,000 setiap seorang di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan hukuman di bawah Peraturan 15(1) peraturan sama.

“Tindakan dilakukan berdasarkan maklumat terdapat orang awam mengambil gambar berlatar belakangkan pemandangan bunga di kolam tadahan banjir tersebut dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk tindakan lanjut, termasuk kompaun ke atas 20 individu dewasa terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA JUGA – Covid-19 : Polis Tahan 20 Individu Leka Berjudi, Berhibur Ketika PKP 

Pemandangan cantik fenomena bunga pokok Keladi Bunting di Melaka itu tular dan ada video tentang keadaan itu dimuatnaik di laman YouTube menunjukkan bunga berkenaan berkembang dan memenuhi setiap inci kawasan kolam berkenaan.

Bukan sahaja di Melaka, di beberapa buah negeri polis bertindak mengeluarkan kompaun dan mengarahkan ramai orang balik selepas didapati beramai-ramai berkumpul di kawasan-kawasan tumpuan seperti pantai dan taman-taman. – TRI

BBerkaitan

Latest articles