BATU PAHAT: Polis tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian popular, Roblox, menjadi faktor penyebab insiden ngeri melibatkan dua beradik di Parit Raja, di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah selepas dikelar menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku di Kampung Parit Nipah Laut itu berpunca daripada pertengkaran kecil antara dua beradik berkenaan.
Menurut beliau, siasatan mendapati abang kepada mangsa, berusia sembilan tahun, merupakan pemain tegar Roblox dan telah mengumpul kira-kira satu juta mata dalam permainan tersebut.
“Difahamkan, telefon bimbit milik suspek telah dirosakkan oleh adiknya sehingga menyebabkan semua mata yang dikumpul dalam permainan itu hilang. Suspek dipercayai mengalami halusinasi berkaitan permainan tersebut dan mendakwa ‘disuruh’ mencederakan keluarganya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi kelmarin, suspek mengambil sebilah pisau di rumah sebelum menyerang adiknya yang sedang tidur.
Mangsa ditemui dengan kecederaan kelar di leher serta tikaman di bahagian badan.
“Kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat,” katanya.
Ab Rahaman turut memaklumkan, ibu bapa kepada dua beradik itu, masing-masing berusia 40-an, telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Kami percaya ibu bapa mengetahui tentang kejadian tersebut. Mereka kini direman sehingga esok bagi melengkapkan siasatan,” katanya sambil menambah bahawa keterangan ahli keluarga lain termasuk kakak mangsa berusia 15 tahun turut diambil.
Beliau menjelaskan, kedua-dua kanak-kanak terbabit kini berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara siasatan diteruskan.
“Kes ini dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor bagi tindakan lanjut. Buat masa ini, tumpuan kami adalah mengenal pasti punca sebenar dan bagaimana elemen permainan dalam talian boleh mempengaruhi tindakan suspek,” jelasnya.










