KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 41 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik kandung perempuannya berusia 25 tahun, dalam kejadian yang didakwa berlaku di Machang minggu lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai pemotong rumput membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan, perbuatan terlarang itu didakwa berlaku di dalam bilik tidur sebuah rumah pada jam 10.30 pagi, 17 Disember lalu, melibatkan hubungan yang jelas dilarang oleh undang-undang dan hukum syarak.
Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad, tidak mencadangkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin, selain berisiko kepada mangsa.
Mahkamah turut menolak permohonan jaminan dan menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan fakta kes serta jatuh hukum.










