Pemimpin Bersatu Desak Muhyiddin–Zahid Bertemu, Demi Kerjasama PRU16

KUALA LUMPUR: Tekanan dalaman mula memuncak apabila seorang pemimpin Bersatu secara terbuka menggesa presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, duduk semeja dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan kemungkinan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris berkata, kerjasama Bersatu–Umno bukan sesuatu yang mustahil kerana kedua-dua parti pernah memerintah bersama di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Menurutnya, jika dua tokoh utama itu mencapai kata sepakat, akar umbi kedua-dua parti tidak akan membantah.

“Pada 2021, Muhyiddin beri laluan kepada Umno memegang jawatan perdana menteri. Kita pernah berada dalam satu kerajaan. Jadi, tidak mustahil sejarah itu berulang.

“Kalau pimpinan tertinggi setuju, orang bawah akan ikut. Yang penting sekarang ialah menyatukan orang Melayu-Islam,” katanya.

Razali yang juga Exco Terengganu menegaskan, rundingan mesti bermula dari peringkat paling atas, bukan di peringkat akar umbi.

“Sebab itu saya minta Muhyiddin dan Zahid duduk semeja, cari formula bersama untuk PRU16. Jangan mula dari bawah. Ia mesti bermula dari atas,” tegasnya.

Beliau turut menolak idea menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang melibatkan Umno dan PAS, atau cadangan supaya Bersatu dibubarkan dan ahlinya menyertai Umno.

“Ada ahli Bersatu di bawah yang mahu kerjasama dengan Umno, tetapi kami mahu pimpinan tertinggi bincang dahulu,” katanya lagi.

Muhyiddin sebelum ini meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Ogos 2021 selepas beberapa Ahli Parlimen Umno termasuk Zahid menarik balik sokongan terhadapnya, sebelum digantikan oleh Ismail Sabri.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid semalam tidak menolak kemungkinan Umno bekerjasama dengan Bersatu, namun menegaskan sebarang keputusan bergantung kepada perkembangan semasa Bersatu.

Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata beliau yakin akar umbi Umno menyokong keputusan kepimpinan tertinggi untuk terus bersama kerajaan perpaduan sehingga PRU16.

Sebelum ini, Zahid berkali-kali menyatakan BN dan Pakatan Harapan akan bergandingan menghadapi PRU16, namun pendiriannya kini dilihat lebih berhati-hati susulan ketegangan politik yang semakin ketara, khususnya melibatkan DAP.

BBerkaitan

Latest articles