Satu mayat lelaki ditemui pada siling sebuah restoran di Jalan Chung Thien Vun, Tawau, semalam, selepas hampir setahun premis itu tidak digunakan.
Mayat yang lengkap berpakaian itu ditemukan dalam keadaan kembung dan melecur hampir 70 peratus oleh pemilik restoran pada 10 malam.
Difahamkan sebelum penemuan itu, pemilik yang berusia 40-an tiba di premisnya untuk meninjau keadaan restoran selepas hampir setahun menutup operasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, lelaki itu terhidu bau busuk dari dalam kedai sebelum menemui titisan darah pada siling premis dan segera bertindak menghubungi polis ekoran bimbang berlaku perkara buruk.
Hasil bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, mayat itu berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu namun berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.
“Sehingga kini, siasatan masih dijalankan bagi mengesan identiti mangsa dan punca kematian,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.