KUALA LUMPUR: Pembebasan beberapa individu yang dikaitkan dengan GISBH Holdings (GISBH) baru-baru ini dilakukan sepenuhnya mengikut lunas undang-undang dan bukan kerana pertuduhan digugurkan, kekurangan bukti mahupun campur tangan mana-mana agensi kerajaan.
Perkara itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan melalui portal Parlimen hari ini.
Menurut beliau, individu-individu berkenaan dibebaskan selepas selesai menjalani hukuman yang diputuskan mahkamah, seiring keputusan kehakiman yang perlu dilaksanakan tanpa pengecualian.
Selain itu, katanya kumpulan tersebut turut berdepan tindakan siasatan di bawah Pasukan Siasatan Penggubahan Wang Haram (AMLA) PDRM dengan 230 kertas pertuduhan dibuka terhadap mereka.
“PDRM juga menyita sebanyak RM23 juta aset milik kumpulan ini, terdiri daripada RM1.5 juta wang tunai dan RM21.5 juta dalam bentuk harta lain,” jelasnya.
Saifuddin menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang meminta penjelasan mengenai pembebasan anggota GISBH yang menjadi perhatian umum.
Beliau menegaskan kerajaan sentiasa meletakkan keselamatan negara sebagai keutamaan dan semua tindakan penguatkuasaan termasuk melibatkan GISBH dilaksanakan secara profesional, berintegriti serta mengikut undang-undang.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 22 individu sebelum ini dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang pada 23 Oktober 2024 di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, manakala 38 lagi dibebaskan susulan kekurangan bukti.
Namun pada 7 November 2025, satu prosiding baharu di Mahkamah Khas Penjara Kajang diadakan selepas pihak pembelaan mengemukakan permohonan representasi.
Mahkamah kemudiannya menawarkan pertuduhan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, dan semua tertuduh mengaku bersalah.
Melalui keputusan itu, sembilan wanita dikenakan denda RM4,500 setiap seorang, manakala 13 lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Kesalahan tersebut melibatkan penyertaan atau penglibatan dalam pertubuhan yang tidak berdaftar atau dilarang.
Saifuddin dalam kenyataan sama turut mengesahkan bahawa siasatan berkaitan pertuduhan AMLA ke atas kumpulan terbabit masih berjalan dan belum selesai.










