Pembantu Menteri Gesa Shafie Benarkan Operasi Sektor Ekonomi

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua membidas tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang enggan membuka semula sektor ekonomi negeri sebagaimana yang disarankan kerajaan persekutuan.

Meskipun memahami hasrat kerajaan negeri untuk mengelakkan peningkatan kes Covid-19, namun ujar Kenny ada beberapa perkara perlu diambil kira.

“Benar kita sedang menghadapi ancaman kesihatan. Begitu juga Covid-19 turut membawa ancaman sosial dan ekonomi dan kita perlu atasinya dengan saling menyokong, bukan sekadar melaksanakan perintah kawalan pergerakan semata-mata tanpa melihat keperluan setiap orang,” kata ADUN Inanam itu.

Sebelum ini Shafie menyatakan Sabah akan terus melaksanakan PKP sehingga tarikh asal 12 Mei depan tanpa menghiraukan kebenaran kerajaan pusat untuk membolehkan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa.

Chua dalam pada itu menambah bahawa sektor pengangkutan negeri perlu digerakkan untuk memberi sokongan dalam tempoh sukar ini.

“Ini bertujuan rantaian bekalan ekonomi terus berjalan lancar supaya penghantaran barangan, makanan, produk pertanian dapat dilakukan.

“Jika ia tak dilakukan, rantaian bekalan akan terputus dan menggangu ekonomi negeri,” tegas Chua lagi.

Dalam pada itu Shafie dalam reaksinya berkata beliau tidak menolak sepenuhnya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) namun menyuarakan kebimbangannya jika ia dilakukan secara terburu-buru.

Beliau memutuskan sektor ekonomi Sabah dilaksanakan pada 12 Mei depan secara berperingkat dengan tempoh yang ada ini dilakukan untuk meneliti kapasiti, kesediaan dan prosedur termasuk aspek kesihatan.

“Kita tidak akan membuka kesemuanya. Realitinya kita tidak boleh membuka semuanya. Oleh sebab itu saya beritahu berikan kita masa. Kita juga sedar fasa ke-5 PKPB akan dilaksanakan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles