BATU PAHAT: Harga rumah yang mahal di Johor berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik untuk rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Johor ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) masih mengetepikan hal-hal kebajikan berkaitan kepentingan rakyat
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Kerajaan Persekutuan sudah melakukan banyak projek pembangunan di Johor, namun rumah untuk pegawai kerajaan, polis, tentera dan pekerja masih tidak mencukupi.
“Kerajaan Persekutuan sudah jaga banyak projek pembangunan di Johor, tetapi saya tengok rumah untuk pegawai kerajaan, polis, tentera dan pekerja masih tidak mencukupi.
“Pembangunan naik berbilion ringgit, tetapi rumah rakyat mahal. Ini kerja negeri, negeri tak buat jadi saya mesti campur minta kerajaan negeri sama (sealiran) PH supaya kita boleh bangunkan rumah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Yok Sarap!’ bersama calon PH di sebuah kedai kopi di Medan, Pekan Senggarang, pagi tadi.
Kata Anwar, kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan akan memudahkan usaha membangunkan lebih banyak rumah mampu milik dan memperkukuhkan kebajikan rakyat.
Jelasnya, pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah disalurkan kerajaan tanpa mengira fahaman politik, namun pentadbiran negeri juga perlu memainkan peranan dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Kita hormat hak rakyat. Orang susah kena bantu, makan kurang kena bantu dan tak perlu beratur atau dengar ucapan baru dapat bantuan.
“Kita kena ajar cara mentadbir negeri supaya lebih teratur dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.










