KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira jam 4 petang tadi itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sedang berlangsung.
Turut menyertai pertemuan itu ialah tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pertemuan berkenaan diadakan selepas Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertemu Ismail bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung kenyataan Menteri Besar itu mengenai dokumen terbabit.
Ahmad Zahid dilaporkan mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai latar belakang dakwaan Ismail yang mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi tersebut dalam keadaan terpaksa.
Ismail, dalam kenyataan semalam, mengesahkan bahawa dokumen yang tular menerusi kenyataan media pada malam 8 September itu ditandatangani tanpa kerelaannya.
Beliau mendakwa tindakan tersebut dibuat secara paksaan dan memaklumkan laporan polis telah dibuat bagi membolehkan perkara itu disiasat pihak berkuasa.
Menurut Ismail, pendirian Kerajaan Negeri adalah bahawa Surat Cara Proklamasi berkenaan tidak memenuhi proses serta tatacara yang ditetapkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.










