KUALA LUMPUR: Pemandu lori yang terlibat dalam insiden tular menyeret beberapa buah kereta sehingga rosak tampil mengakui bakal dikenakan tindakan atas kesalahan merosakkan harta awam.
Individu dikenali sebagai Wan itu memaklumkan beliau akan hadir ke balai polis dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung kejadian berkenaan.
Menerusi satu siaran langsung di TikTok, Wan menjelaskan kejadian berlaku selepas beberapa kenderaan diletakkan sehingga menghalang laluan, menyebabkan lorinya tidak dapat bergerak.
Menurutnya, dia telah menunggu lebih sejam dengan harapan pemilik kenderaan tampil mengalihkan kereta masing-masing, namun tiada siapa muncul.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila jumlah kenderaan di belakang lori semakin bertambah sehingga berlaku kesesakan teruk.
Dalam situasi terdesak itu, Wan mendakwa dia terpaksa meneruskan perjalanan, sekali gus menyebabkan kenderaan yang menghalang laluan diseret dan mengalami kerosakan.
Insiden berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan sebahagian netizen mengecam tindakan pemandu lori tersebut, manakala ada juga yang mempertikaikan sikap pemilik kenderaan yang didakwa menghalang laluan awam.










