Kes Zahid: DAP Sangkal Dakwaan Perwakilan PAS

KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menolak dakwaan seorang perwakilan PAS dalam Muktamar PAS Pusat di Kota Bharu semalam yang menuduh parti itu bersikap hipokrit berhubung keputusan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP Ramkarpal Singh berkata dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari yang merujuk kepada gesaan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer serta Pemuda DAP (DAPSY) adalah jelas tidak tepat dan menunjukkan ketidakfahaman terhadap pendirian parti itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menegaskan bahawa DAP sentiasa konsisten menyuarakan kebimbangan serius berhubung kes berkenaan sejak Mahkamah Tinggi memberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada 4 Sept 2023.

“Pada keesokan harinya, 5 Sept 2023, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke telah mengeluarkan kenyataan menggesa Peguam Negara menjelaskan keputusan tersebut.

“Loke turut menegaskan bahawa DAP sentiasa mempertahankan prinsip pengasingan kuasa serta memastikan tiada campur tangan eksekutif dalam kes mahkamah demi kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ramkarpal berkata pendirian itu diteruskan pada 8 Jan lepas menerusi kenyataannya selaku Ketua Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP yang meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan tidak mengambil tindakan lanjut, sejurus selepas kenyataan AGC pada 7 Jan 2026.

Menurutnya, kegagalan Peguam Negara menjelaskan keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan berpotensi menghakis keyakinan orang ramai terhadap AGC, memandangkan Mahkamah Tinggi telah pun membuat dapatan prima facie yang membuktikan wujudnya bukti mencukupi berdasarkan keterangan pihak pendakwaan sendiri.

“Berdasarkan fakta ini, tidak dapat dinafikan DAP telah menyatakan pendirian sejak 2023 lagi dan sekali lagi pada 2026 apabila AGC menyatakan secara terbuka tiada tindakan lanjut diambil.

“Oleh itu, gesaan Rayer dan DAPSY bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya.

Beliau menambah DAP akan terus mempersoalkan keputusan Peguam Negara yang disifatkan tidak masuk akal, sambil mempersoalkan pendirian PAS sama ada mahu melakukan perkara sama atau berdiam diri berikutan hubungan yang dilihat semakin akrab dengan UMNO ketika ini.

BBerkaitan

Latest articles